Sunday, May 22, 2011

Komputer Riba Percuma 1Malaysia Kepada 710 pelajar

KUALA PILAH: Seramai 710 pelajar keluarga berpendapatan rendah daripada beberapa sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol berpeluang menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) apabila menerima komputer percuma menerusi program komputer riba 1Malaysia, baru-baru ini.

Majlis penyampaian komputer yang diadakan di Dewan Al-Khawarizmi Sekolah Menengah Agama (SMA) Sains Kuala Pilah, Selaru di sini, itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim.

Ismail berkata, mereka yang layak menerima komputer riba itu terdiri daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dan anak-anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran.

“Langkah kerajaan menerusi SKMM mengagihkan komputer berkenaan adalah untuk membantu masyarakat terutama pelajar di kawasan luar bandar supaya mereka celik IT.

“Melalui pemberian komputer itu, tiada lagi jurang digital antara pelajar luar bandar dan bandar. Kita mahu semua pelajar berdaya saing dan berupaya melahirkan ramai modal insan yang berkualiti pada masa depan.

“Usaha ini juga membolehkan rakyat di kawasan luar bandar menikmati dan mengambil faedah kemudahan IT seperti mereka yang berada di bandar sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), Mohd Fadhillah Mohd Nor dan Pengetua sekolah berkenaan, Rosli Husin.

Menurut Ismail, dia berharap pelajar tidak menyalahgunakan kemudahan itu sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapat maklumat yang betul bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak mereka dalam menggunakan komputer berkenaan dan jangan menggunakannya untuk tujuan yang tidak elok.

“Kita tidak mahu fikiran anak-anak terpesong dengan maklumat yang tidak elok yang akhirnya boleh menjejaskan pelajaran mereka sekali gus merugikan diri serta masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMA Sains Kuala Pilah, Syazwani Shamsuddin, 13, berkata dia mengucapkan terima kasih kerana pemberian komputer berkenaan membantu dirinya mendalami bidang ICT secara lebih meluas dan mengakses banyak maklumat berkaitan pelajaran.

Oleh Mohd Amin Jalil
Harian Metro Mei 2011