Sunday, May 22, 2011

Komputer Riba Percuma 1Malaysia Kepada 710 pelajar

KUALA PILAH: Seramai 710 pelajar keluarga berpendapatan rendah daripada beberapa sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol berpeluang menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) apabila menerima komputer percuma menerusi program komputer riba 1Malaysia, baru-baru ini.

Majlis penyampaian komputer yang diadakan di Dewan Al-Khawarizmi Sekolah Menengah Agama (SMA) Sains Kuala Pilah, Selaru di sini, itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim.

Ismail berkata, mereka yang layak menerima komputer riba itu terdiri daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dan anak-anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran.

“Langkah kerajaan menerusi SKMM mengagihkan komputer berkenaan adalah untuk membantu masyarakat terutama pelajar di kawasan luar bandar supaya mereka celik IT.

“Melalui pemberian komputer itu, tiada lagi jurang digital antara pelajar luar bandar dan bandar. Kita mahu semua pelajar berdaya saing dan berupaya melahirkan ramai modal insan yang berkualiti pada masa depan.

“Usaha ini juga membolehkan rakyat di kawasan luar bandar menikmati dan mengambil faedah kemudahan IT seperti mereka yang berada di bandar sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), Mohd Fadhillah Mohd Nor dan Pengetua sekolah berkenaan, Rosli Husin.

Menurut Ismail, dia berharap pelajar tidak menyalahgunakan kemudahan itu sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapat maklumat yang betul bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak mereka dalam menggunakan komputer berkenaan dan jangan menggunakannya untuk tujuan yang tidak elok.

“Kita tidak mahu fikiran anak-anak terpesong dengan maklumat yang tidak elok yang akhirnya boleh menjejaskan pelajaran mereka sekali gus merugikan diri serta masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMA Sains Kuala Pilah, Syazwani Shamsuddin, 13, berkata dia mengucapkan terima kasih kerana pemberian komputer berkenaan membantu dirinya mendalami bidang ICT secara lebih meluas dan mengakses banyak maklumat berkaitan pelajaran.

Oleh Mohd Amin Jalil
Harian Metro Mei 2011

Padah Guna Perisian Cetak Rompak

KUALA LUMPUR: Taktik licik dua syarikat pereka laman web dan perunding pemasaran sekitar ibu kota yang menggunakan perisian komputer cetak rompak untuk menjimatkan wang mengundang padah apabila mereka berdepan kemungkinan didenda sehingga RM500,000 akibat kesalahan terbabit.

Ia berikutan rampasan 16 unit komputer mengandungi 86 salinan langgaran yang dikesan dalam dua operasi berasingan Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPD- NKK) cawangan Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, serbuan dilakukan hasil aduan Persekutuan Perisian Perniagaan (BSA) Malaysia berhubung penggunaan perisian cetak rompak di syarikat berkenaan sebelum penguat kuasa menjalankan risikan berhubung perkara itu.

Menurutnya, operasi dijalankan di Cheras dan Kuchai Lama itu menemui beberapa perisian cetak rompak yang digunakan dua syarikat terbabit antaranya Adobe After Effects CS4 dan Microsof Office 2003.

“Sekiranya disabit kesalahan pemilik syarikat berkenaan boleh didenda RM2,000 hingga RM20,000 setiap satu langgaran selain berkemungkinan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun,” katanya pada Sidang Media Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak, semalam.

Mohamad Mokhtar berkata, semua perisian dan komputer yang dirampas dibawa ke pejabat KPDNKK cawangan Wilayah Persekutuan, manakala pihak pengurusan dua syarikat itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d), Akta Hak cipta 1987 iaitu memiliki salinan langgaran palsu.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan individu dan syarikat lain yang melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam kes dikesan KPDNKK cawangan Wilayah Persekutuan sejak awal tahun ini yang membabitkan nilai rampasan sehingga RM847,000.

“Semua kes terbabit masih lagi di bawah siasatan dan sekiranya disabit kesalahan semua mereka akan dikenakan hukuman mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Harian Metro Mei 2011

Saturday, May 21, 2011

Jaja Cinta Di Internet

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan melalui laman sosial didalangi warga Nigeria yang menyasarkan ahli perniagaan terutama wanita tumpas apabila polis menahan tiga suspek termasuk sepasang suami isteri dalam dua serbuan, Isnin lalu.

Kegiatan sindiket dikenali ‘African Scam’ itu yang beroperasi di Seri Kembangan, dekat sini, terbongkar selepas seorang ahli perniagaan wanita warga Taiwan membuat laporan ditipu membabitkan kerugian berjumlah RM380,000.

Mangsa yang berusia 43 tahun berkenalan dengan seorang daripada suspek melalui facebook yang menggunakan nama John Miller berasal dari Britain, sebelum menjalin hubungan cinta. Suspek dikatakan memperdayakan mangsa konon akan memberi hadiah wang tunai dan barangan bernilai ?950,000 (RM4.6 juta) yang akan dihantar menerusi syarikat penghantaran di Malaysia.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 4.30 petang menahan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun bersama suaminya, warga Nigeria berusia 39 tahun.

Menurutnya, seorang lagi lelaki warga Nigeria berusia 26 tahun yang juga pelajar kolej swasta di ibu negara, ditahan dalam serbuan susulan di Cheras.

“Kami merampas wang tunai hampir RM60,000 dalam pelbagai mata wang serta pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000.

“Selain itu, polis turut merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, peralatan Internet dan beberapa dokumen termasuk buku cek dan kad juruwang automatik (ATM) serta kad kredit pelbagai bank dipercayai digunakan suspek bagi menipu mangsa,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mangsa yang menetap di Taiwan tidak pernah bertemu suspek dan hanya menjalin hubungan cinta melalui alam maya, namun menyedari dirinya ditipu selepas membuat beberapa transaksi melalui Western Union (WU) sebelum datang ke Malaysia untuk memastikannya dan membuat laporan di Kedutaan Taiwan, di sini, Februari lalu.

Beliau berkata, wang dipinta suspek itu konon bagi menjelaskan bayaran beberapa sekatan bagi membolehkannya tiba di negara ini.

“Siasatan mendapati isteri warga Nigeria itu menjalankan perniagaan sewa kereta dan transaksi wang dilakukan mangsa ke akaun syarikatnya.

“Kami menyita empat kenderaan dianggarkan bernilai RM400,000 yang didaftarkan atas nama syarikat itu bagi siasatan lanjut,” katanya.

Semua suspek direman empat hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Oleh Muhammad Apendy Issahak
Harian Metro 10/2011

Friday, May 20, 2011

Umpan Pembantu Rumah Di Internet

ALOR SETAR: Satu sindiket yang menawarkan khidmat pembantu rumah warga tempatan dikesan menjadikan sebuah laman web popular untuk memperdayakan mangsa dipercayai bagi mengaut keuntungan mudah.

Setakat ini, beberapa mangsa mendakwa tertipu selepas memasukkan sejumlah wang diminta sebelum suspek menghilangkan diri termasuk mematikan talian telefon bimbit.

Berdasarkan maklumat laman web itu, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi di bandar raya ini berdasarkan nombor telefon serta dialek yang digunakan mereka.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, 37, berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia ada mengiklankan jawatan untuk mencari pembantu rumah warga tempatan di sebuah laman web popular bulan lalu.

“Selepas beberapa hari, seorang lelaki berasal dari Kedah mendakwa boleh membantu saya mendapatkan seorang pembantu rumah warga tempatan.

May 2011 Oleh Mohamad Hussin
Harian Metro

Friday, May 13, 2011

Perisian Cetak Rompak di Komputer Peribadi Malaysia Bernilai Cecah RM1.8 billion

Nilai komersial perisian tanpa lesen yang dipasang pada komputer peribadi di Malaysia mencecah lebih RM1.8 bilion (US$606 juta) pada 2010 apabila 56 peratus daripada perisian berkenaan merupakan produk cetak rompak.

perisian-cetakrompak Pengarah Kanan Business Software Alliance (Pemasaran, Asia Pacifik) Roland Chan berkata kadar itu adalah antara perkara yang dikesan melalui Kajian Cetak Rompak Perisian Global BSA 2010 tentang perbuatan mencetak rompak perisian di seluruh dunia.

"Malaysia mencatat kadar cetak rompak sebanyak 56 peratus, turun dua peratus daripada 58 peratus pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, nilai komersial perisian tanpa lesen meningkat kepada lebih RM1.8 bilion (US$606 juta) berbanding RM1.3 bilion (US$453 juta) pada tahun sebelumnya.

"Kadar cetak rompak di Malaysia mengambil masa lima tahun untuk turun sebanyak dua mata sejak 2005 dan oleh itu, melihat kadar cetak rompak menurun sebanyak dua mata dalam tempoh setahun menjadi bukti tentang keberkesanan kempen Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) oleh kerajaan yang dilancarkan menteri berkenaan pada Mei 2010," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur Khamis.
Bernama melaporkan beliau berkata berikutan kempen berterusan GGCR, yang disertai pendidikan yang disampaikan melalui program itu seperti Seminar Mengenai Tadbir Urus Baik - Kunci Utama Mengurangkan Risiko Terhadap Harta Intelek" anjuran bersama BSA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, baru-baru ini, kadar cetak rompak perisian di tempat kerja akan dapat dikurangkan pda masa akan datang.

Kata Chan pencapaian itu berbaloi dengan usaha yang dilaksanakan pihaknya pada tahun lepas, di samping merangsang mereka untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memerangi ancaman kegiatan cetak rompak.-12/5/201

Bernama

Tuesday, May 10, 2011

Kes Saman RM10 Juta Kata-kata Fitnah di Facebook

Berhati-hatilah apabila berkata-kata di Facebook,

SHAH ALAM - Seorang wanita memfailkan saman RM10 juta terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga anggota keluarganya kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah menerusi laman sosial Facebook.

zalina-jaafar Zalina Jaafar, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya Faizul Mohd. Nasir pada pukul 10 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Selain Mahharul, dua adik perempuannya, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani, turut dinamakan sebagai defendan.

Mahharul merupakan Setiausaha Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan manakala Zalina merupakan pembantu kepada Ahli Majlis MBPJ, R. Selvarajan. Selvarajan merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Petaling Jaya Selatan.

Zalina mendakwa Mahharul telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman Facebook miliknya (Mahharul) pada 28 September lalu dan kenyataan di laman sosial milik Wan Ikhwan diterbitkan pada 21 September lalu.

Dia turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.

"Antara lain saya difitnah sebagai seorang perempuan tidak bermaruah, melakukan hubungan sulit dengan suami orang tanpa sebarang ikatan perkahwinan selain menuduh saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam politik," kata Zalina.

dari Kosmo 10/05/2011

Sunday, May 8, 2011

Jaga-jaga Web internet tipu (phishing) warga Afrika

Selain menipu gadis-gadis Melayu Malaysia (yang tak pernah serik) , warga Afrika juga mahu jadikan Malaysia hub penipuan global.

KUALA LUMPUR: Sindiket antarabangsa membabitkan warga Afrika mahu menjadikan Malaysia sebagai hub penipuan berikutan penguatkuasaan lemah walaupun mempunyai banyak undang-udang.

Kesempatan itu diambil bukan lagi sekadar untuk menipu warga tempatan, malah masyarakat antarabangsa kerana mereka sedar selain penguatkuasaan undang-undang lemah dan mudah berlaku korupsi, Malaysia mempunyai teknologi komunikasi maklumat, sekali gus memudahkan mereka mencari mangsa.

Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, faktor dikenali dengan istilah ‘Criminogenic Asymmetric’ itu menyebabkan negara ini dipilih sebagai hub penipuan.

“Mereka sebenarnya menjalankan kajian terhadap sistem negara kita. Di sini terlalu banyak undang-undang baru diperkenalkan tetapi penguatkuasaan lemah, dan dalam masa sama, kita mempunyai rangkaian Internet yang baik.

“Mereka bebas keluar masuk, jadi apa yang mereka lakukan ialah menggunakan teknologi untuk membuat laman web palsu menggunakan nama pelbagai agensi kerajaan bagi menawarkan peluang pelaburan, perniagaan atau pinjaman wang kepada masyarakat antarabangsa.

“Mangsa yang mahu menjalankan urus niaga biasanya diminta membayar sejumlah wang pendahuluan dan sebaik wang dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan di Malaysia mereka menghilangkan diri, menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurutnya, perkara itu lebih mudah apabila ada warga tempatan sanggup membuka akaun bagi memudahkan mengutip hasil penipuan.

mat-afrika “Jenayah itu semakin menjadi-jadi apabila ada warga tempatan sanggup bersekongkol dengan warga Afrika terbabit sehingga mengakibatkan nama baik Malaysia tercemar di peringkat antarabangsa selain memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, segelintir warga Afrika di negara ini sering dikaitkan dengan kes penipuan membabitkan rakyat tempatan, namun tanpa disedari, ada antara mereka turut menjadikan Malaysia lokasi untuk memerangkap mangsa di luar negara.

Modus operandi digunakan sungguh mudah, iaitu membuat laman web palsu, contohnya mengenai bank menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah, menjual aksesori telefon bimbit, kertas fotostat atau menyamar sebagai gadis kesunyian yang memerlukan pertolongan.

Akhbar berkata, pihak berkuasa perlu memantau kegiatan ini dan mengambil tindakan segera bagi memastikan ia dihalang daripada terus berleluasa sehingga mencemarkan nama negara.

“ACFE menerima banyak aduan berhubung kegiatan ini daripada masyarakat antarabangsa, kita perlu melakukan sesuatu kerana ia bukan saja mencemarkan nama baik negara, malah menjejaskan ekonomi,” katanya.

Akhbar berkata, negara juga boleh berdepan kerugian sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun angkara penyangak kolar putih yang merangkumi kegiatan penipuan, penyelewengan, rasuah dan menggubahan wang haram.

Sumber Harian Metro 08/05/11