Sunday, May 8, 2011

Jaga-jaga Web internet tipu (phishing) warga Afrika

Selain menipu gadis-gadis Melayu Malaysia (yang tak pernah serik) , warga Afrika juga mahu jadikan Malaysia hub penipuan global.

KUALA LUMPUR: Sindiket antarabangsa membabitkan warga Afrika mahu menjadikan Malaysia sebagai hub penipuan berikutan penguatkuasaan lemah walaupun mempunyai banyak undang-udang.

Kesempatan itu diambil bukan lagi sekadar untuk menipu warga tempatan, malah masyarakat antarabangsa kerana mereka sedar selain penguatkuasaan undang-undang lemah dan mudah berlaku korupsi, Malaysia mempunyai teknologi komunikasi maklumat, sekali gus memudahkan mereka mencari mangsa.

Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, faktor dikenali dengan istilah ‘Criminogenic Asymmetric’ itu menyebabkan negara ini dipilih sebagai hub penipuan.

“Mereka sebenarnya menjalankan kajian terhadap sistem negara kita. Di sini terlalu banyak undang-undang baru diperkenalkan tetapi penguatkuasaan lemah, dan dalam masa sama, kita mempunyai rangkaian Internet yang baik.

“Mereka bebas keluar masuk, jadi apa yang mereka lakukan ialah menggunakan teknologi untuk membuat laman web palsu menggunakan nama pelbagai agensi kerajaan bagi menawarkan peluang pelaburan, perniagaan atau pinjaman wang kepada masyarakat antarabangsa.

“Mangsa yang mahu menjalankan urus niaga biasanya diminta membayar sejumlah wang pendahuluan dan sebaik wang dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan di Malaysia mereka menghilangkan diri, menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurutnya, perkara itu lebih mudah apabila ada warga tempatan sanggup membuka akaun bagi memudahkan mengutip hasil penipuan.

mat-afrika “Jenayah itu semakin menjadi-jadi apabila ada warga tempatan sanggup bersekongkol dengan warga Afrika terbabit sehingga mengakibatkan nama baik Malaysia tercemar di peringkat antarabangsa selain memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, segelintir warga Afrika di negara ini sering dikaitkan dengan kes penipuan membabitkan rakyat tempatan, namun tanpa disedari, ada antara mereka turut menjadikan Malaysia lokasi untuk memerangkap mangsa di luar negara.

Modus operandi digunakan sungguh mudah, iaitu membuat laman web palsu, contohnya mengenai bank menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah, menjual aksesori telefon bimbit, kertas fotostat atau menyamar sebagai gadis kesunyian yang memerlukan pertolongan.

Akhbar berkata, pihak berkuasa perlu memantau kegiatan ini dan mengambil tindakan segera bagi memastikan ia dihalang daripada terus berleluasa sehingga mencemarkan nama negara.

“ACFE menerima banyak aduan berhubung kegiatan ini daripada masyarakat antarabangsa, kita perlu melakukan sesuatu kerana ia bukan saja mencemarkan nama baik negara, malah menjejaskan ekonomi,” katanya.

Akhbar berkata, negara juga boleh berdepan kerugian sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun angkara penyangak kolar putih yang merangkumi kegiatan penipuan, penyelewengan, rasuah dan menggubahan wang haram.

Sumber Harian Metro 08/05/11