Ini dah bukan kes terpedaya tetapi memperdayakan diri.
PUTRAJAYA: Seorang pelajar kolej swasta di ibu negara diperdaya seorang lelaki warga Afrika untuk membawa 100 pil seberat 600 gram dipercayai dadah jenis heroin ke China dengan bayaran RM5,000.
Akibatnya, mangsa yang berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan di Lapangan Terbang Shenzen, China pada 11 Mac lalu kerana disyaki membawa dadah di dalam tubuh dengan cara menelan.
Mangsa dipercayai diperdaya satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan laman web sosial Facebook untuk menjerat mangsa, terutama pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal, untuk membawa dadah keluar dari negara ini.
Sindiket didalangi warga Afrika itu dipercayai cuba mendekati sasaran atau mangsa menggunakan Facebook sebelum memperdaya dan memperalat mereka untuk membawa dadah ke negara destinasi.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan berkenalan dengan lelaki Afrika yang menggunakan nama samaran ‘Chimezie Michael’ melalui Facebook sejak tahun lalu.
Katanya, mangsa yang berasal dari Betong, Sarawak mengaku tidak pernah bertemu secara langsung dengan lelaki terbabit sejak berhubung melalui laman web sosial itu, malah tidak mengetahui nama penuh dan latar belakangnya.
“Sebelum ke China, Michael mengarahkan mangsa menelan 100 pil yang mengandungi dadah dan dia akan dibayar RM5,000 apabila pulang dari China kelak.
“Malah, mangsa menguruskan sendiri segala urusan visa dan tiket penerbangan diuruskan. Bagaimanapun, sebaik tiba di lapangan terbang itu pada 11 Mac, beliau ditahan pihak berkuasa tempatan kerana disyaki membawa dadah dalam tubuh dengan cara menelan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Shenzhen untuk siasatan lanjut. Ketika ini, gadis itu dalam keadaan sihat.
“Wakil kita di China turut meminta pihak berkuasa tempatan di sana memberi layanan baik kepadanya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Wisma Putra di Taman Wetland, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman.
Richard berkata, beliau sedih selepas dimaklumkan gadis terbabit hanya dijanjikan RM5,000 untuk membawa dadah berkenaan dan percaya ia dilakukan atas dasar kesempitan hidup.
“Sindiket ini menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal sebagai sasaran kerana mungkin golongan ini mudah diperdaya akibat kesempitan hidup dialami,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, terutama pelajar, supaya berhati-hati ketika menggunakan Facebook dan jangan mempercayai kenalan baru, terutama warga Afrika, bagi mengelak terpedaya dengan sindiket ini.
“Saya selalu cakap Facebook ada kebaikannya, tetapi jika salah guna boleh ia jadi musuh ketat. Pada masa sama, berhati-hati dengan mereka yang ingin berkenalan, terutama warga Afrika, kerana mereka mungkin ada niat tersembunyi di sebalik perkenalan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana dadah terbabit tidak dapat dikesan di negara ini ketika pemeriksaan dilakukan.
dari: Harianmetro