Sunday, May 22, 2011

Komputer Riba Percuma 1Malaysia Kepada 710 pelajar

KUALA PILAH: Seramai 710 pelajar keluarga berpendapatan rendah daripada beberapa sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol berpeluang menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) apabila menerima komputer percuma menerusi program komputer riba 1Malaysia, baru-baru ini.

Majlis penyampaian komputer yang diadakan di Dewan Al-Khawarizmi Sekolah Menengah Agama (SMA) Sains Kuala Pilah, Selaru di sini, itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim.

Ismail berkata, mereka yang layak menerima komputer riba itu terdiri daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dan anak-anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran.

“Langkah kerajaan menerusi SKMM mengagihkan komputer berkenaan adalah untuk membantu masyarakat terutama pelajar di kawasan luar bandar supaya mereka celik IT.

“Melalui pemberian komputer itu, tiada lagi jurang digital antara pelajar luar bandar dan bandar. Kita mahu semua pelajar berdaya saing dan berupaya melahirkan ramai modal insan yang berkualiti pada masa depan.

“Usaha ini juga membolehkan rakyat di kawasan luar bandar menikmati dan mengambil faedah kemudahan IT seperti mereka yang berada di bandar sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), Mohd Fadhillah Mohd Nor dan Pengetua sekolah berkenaan, Rosli Husin.

Menurut Ismail, dia berharap pelajar tidak menyalahgunakan kemudahan itu sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapat maklumat yang betul bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak mereka dalam menggunakan komputer berkenaan dan jangan menggunakannya untuk tujuan yang tidak elok.

“Kita tidak mahu fikiran anak-anak terpesong dengan maklumat yang tidak elok yang akhirnya boleh menjejaskan pelajaran mereka sekali gus merugikan diri serta masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMA Sains Kuala Pilah, Syazwani Shamsuddin, 13, berkata dia mengucapkan terima kasih kerana pemberian komputer berkenaan membantu dirinya mendalami bidang ICT secara lebih meluas dan mengakses banyak maklumat berkaitan pelajaran.

Oleh Mohd Amin Jalil
Harian Metro Mei 2011

Padah Guna Perisian Cetak Rompak

KUALA LUMPUR: Taktik licik dua syarikat pereka laman web dan perunding pemasaran sekitar ibu kota yang menggunakan perisian komputer cetak rompak untuk menjimatkan wang mengundang padah apabila mereka berdepan kemungkinan didenda sehingga RM500,000 akibat kesalahan terbabit.

Ia berikutan rampasan 16 unit komputer mengandungi 86 salinan langgaran yang dikesan dalam dua operasi berasingan Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPD- NKK) cawangan Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, serbuan dilakukan hasil aduan Persekutuan Perisian Perniagaan (BSA) Malaysia berhubung penggunaan perisian cetak rompak di syarikat berkenaan sebelum penguat kuasa menjalankan risikan berhubung perkara itu.

Menurutnya, operasi dijalankan di Cheras dan Kuchai Lama itu menemui beberapa perisian cetak rompak yang digunakan dua syarikat terbabit antaranya Adobe After Effects CS4 dan Microsof Office 2003.

“Sekiranya disabit kesalahan pemilik syarikat berkenaan boleh didenda RM2,000 hingga RM20,000 setiap satu langgaran selain berkemungkinan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun,” katanya pada Sidang Media Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak, semalam.

Mohamad Mokhtar berkata, semua perisian dan komputer yang dirampas dibawa ke pejabat KPDNKK cawangan Wilayah Persekutuan, manakala pihak pengurusan dua syarikat itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d), Akta Hak cipta 1987 iaitu memiliki salinan langgaran palsu.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan individu dan syarikat lain yang melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam kes dikesan KPDNKK cawangan Wilayah Persekutuan sejak awal tahun ini yang membabitkan nilai rampasan sehingga RM847,000.

“Semua kes terbabit masih lagi di bawah siasatan dan sekiranya disabit kesalahan semua mereka akan dikenakan hukuman mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Harian Metro Mei 2011

Saturday, May 21, 2011

Jaja Cinta Di Internet

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan melalui laman sosial didalangi warga Nigeria yang menyasarkan ahli perniagaan terutama wanita tumpas apabila polis menahan tiga suspek termasuk sepasang suami isteri dalam dua serbuan, Isnin lalu.

Kegiatan sindiket dikenali ‘African Scam’ itu yang beroperasi di Seri Kembangan, dekat sini, terbongkar selepas seorang ahli perniagaan wanita warga Taiwan membuat laporan ditipu membabitkan kerugian berjumlah RM380,000.

Mangsa yang berusia 43 tahun berkenalan dengan seorang daripada suspek melalui facebook yang menggunakan nama John Miller berasal dari Britain, sebelum menjalin hubungan cinta. Suspek dikatakan memperdayakan mangsa konon akan memberi hadiah wang tunai dan barangan bernilai ?950,000 (RM4.6 juta) yang akan dihantar menerusi syarikat penghantaran di Malaysia.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 4.30 petang menahan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun bersama suaminya, warga Nigeria berusia 39 tahun.

Menurutnya, seorang lagi lelaki warga Nigeria berusia 26 tahun yang juga pelajar kolej swasta di ibu negara, ditahan dalam serbuan susulan di Cheras.

“Kami merampas wang tunai hampir RM60,000 dalam pelbagai mata wang serta pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000.

“Selain itu, polis turut merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, peralatan Internet dan beberapa dokumen termasuk buku cek dan kad juruwang automatik (ATM) serta kad kredit pelbagai bank dipercayai digunakan suspek bagi menipu mangsa,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mangsa yang menetap di Taiwan tidak pernah bertemu suspek dan hanya menjalin hubungan cinta melalui alam maya, namun menyedari dirinya ditipu selepas membuat beberapa transaksi melalui Western Union (WU) sebelum datang ke Malaysia untuk memastikannya dan membuat laporan di Kedutaan Taiwan, di sini, Februari lalu.

Beliau berkata, wang dipinta suspek itu konon bagi menjelaskan bayaran beberapa sekatan bagi membolehkannya tiba di negara ini.

“Siasatan mendapati isteri warga Nigeria itu menjalankan perniagaan sewa kereta dan transaksi wang dilakukan mangsa ke akaun syarikatnya.

“Kami menyita empat kenderaan dianggarkan bernilai RM400,000 yang didaftarkan atas nama syarikat itu bagi siasatan lanjut,” katanya.

Semua suspek direman empat hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Oleh Muhammad Apendy Issahak
Harian Metro 10/2011