Sunday, April 24, 2011

Gadis Malaysia Diperdaya rakan Facebook Awang Hitam

Ini dah bukan kes terpedaya tetapi memperdayakan diri.

facebook_icon PUTRAJAYA: Seorang pelajar kolej swasta di ibu negara diperdaya seorang lelaki warga Afrika untuk membawa 100 pil seberat 600 gram dipercayai dadah jenis heroin ke China dengan bayaran RM5,000.

Akibatnya, mangsa yang berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan di Lapangan Terbang Shenzen, China pada 11 Mac lalu kerana disyaki membawa dadah di dalam tubuh dengan cara menelan.

Mangsa dipercayai diperdaya satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan laman web sosial Facebook untuk menjerat mangsa, terutama pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal, untuk membawa dadah keluar dari negara ini.

Sindiket didalangi warga Afrika itu dipercayai cuba mendekati sasaran atau mangsa menggunakan Facebook sebelum memperdaya dan memperalat mereka untuk membawa dadah ke negara destinasi.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan berkenalan dengan lelaki Afrika yang menggunakan nama samaran ‘Chimezie Michael’ melalui Facebook sejak tahun lalu.

Katanya, mangsa yang berasal dari Betong, Sarawak mengaku tidak pernah bertemu secara langsung dengan lelaki terbabit sejak berhubung melalui laman web sosial itu, malah tidak mengetahui nama penuh dan latar belakangnya.

“Sebelum ke China, Michael mengarahkan mangsa menelan 100 pil yang mengandungi dadah dan dia akan dibayar RM5,000 apabila pulang dari China kelak.

“Malah, mangsa menguruskan sendiri segala urusan visa dan tiket penerbangan diuruskan. Bagaimanapun, sebaik tiba di lapangan terbang itu pada 11 Mac, beliau ditahan pihak berkuasa tempatan kerana disyaki membawa dadah dalam tubuh dengan cara menelan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Shenzhen untuk siasatan lanjut. Ketika ini, gadis itu dalam keadaan sihat.

“Wakil kita di China turut meminta pihak berkuasa tempatan di sana memberi layanan baik kepadanya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Wisma Putra di Taman Wetland, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman.

Richard berkata, beliau sedih selepas dimaklumkan gadis terbabit hanya dijanjikan RM5,000 untuk membawa dadah berkenaan dan percaya ia dilakukan atas dasar kesempitan hidup.

“Sindiket ini menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal sebagai sasaran kerana mungkin golongan ini mudah diperdaya akibat kesempitan hidup dialami,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, terutama pelajar, supaya berhati-hati ketika menggunakan Facebook dan jangan mempercayai kenalan baru, terutama warga Afrika, bagi mengelak terpedaya dengan sindiket ini.

“Saya selalu cakap Facebook ada kebaikannya, tetapi jika salah guna boleh ia jadi musuh ketat. Pada masa sama, berhati-hati dengan mereka yang ingin berkenalan, terutama warga Afrika, kerana mereka mungkin ada niat tersembunyi di sebalik perkenalan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana dadah terbabit tidak dapat dikesan di negara ini ketika pemeriksaan dilakukan.

dari: Harianmetro

Saturday, April 23, 2011

Awas, jangan tertipu beli kereta di Internet

KUALA LUMPUR: Cita-cita membeli kereta terpakai melalui iklan dalam laman web menyebabkan pensyarah sebuah kolej swasta di ibu kota kerugian RM500 apabila wang yang dianggap sebagai pendahuluan lesap.

Mangsa yang dikenali sebagai Robert, 26, berkata, dia selalu membeli barangan melalui Internet dan kali ini, dia ingin membeli kereta terpakai jenis Volvo yang diiklankan pada harga RM19,000.

Beliau kemudian menghubungi pemilik kereta terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Raymond.

“Perbincangan dengan Raymond lancar dan pada jam 11.30 pagi, 15 April lalu, saya memasukkan RM500 wang pendahuluan untuk bayaran kereta kepada akaun lelaki bernama Rajendran sebelum menghubungi Raymond semula,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, selepas mengesahkan bayaran pendahuluan itu, Raymond memintanya menunggu di kawasan berdekatan premis di Taman Segar, Cheras bagi menyerahkan kereta namun selepas hampir lima jam menunggu lelaki itu tidak muncul.

“Keesokannya Raymond menutup talian telefonnya dan apabila saya menyemak semula di laman web berkenaan, saya mangsa ke-20 yang ditipu lelaki bernama Rajendrandengan nama samaran Raymond,” katanya.

sumber Harianmetro

Monday, April 11, 2011

Jaga-jaga Dengan Email and Website Phishing Kononnya Dari Bank

Hati-hati dengan bentuk penipuan email phishing dimana email yang diterima adalah email yang menyamar kononnya dari pihak  (bank misalnya) yang boleh menyebabkan kerugian yang banyak.

KLANG: Gara-gara percaya e-mel yang mengatakan akaunnya di sebuah bank bakal dibekukan, seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan RM5,000 dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata dia menyedari wang dipindahkan ke akaun lain apabila menerima SMS pengesahan daripada pihak bank.

Dia yang cemas membuat laporan polis serta menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan bank berkenaan untuk membuat pengesahan sama ada wang dalam akuannya dipindahkan ke akaun lain.

Ayu berkata, sebelum kejadian dia menerima e-mel daripada pihak yang mengaku wakil bank berkenaan dan memintanya mengemas kini maklumat peribadi supaya akaun simpanannya tidak dibekukan.

“Khuatir perkara itu, saya membuka pautan yang terdapat dalam e-mel terbabit dan memasukkan alamat e-mel dan kata laluan seperti diminta.

“Laman web itu sama dengan laman web rasmi bank berkenaan. Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik pada laman web itu.

“Selepas e-mel dan kata laluan dimasukkan, saya menerima SMS daripada bank yang mengatakan sejumlah wang daripada akaun saya sudah dipindahkan,” katanya.

Ayu berkata, walaupun laporan polis dan aduan dibuat, bank berkenaan seolah-oleh lepas tangan dan sukar bekerjasama dalam mengendalikan kes itu.

Menurut Ayu, bank itu memberi jawapan tidak meyakinkan terhadap persoalan diajukan terutama ke akaun mana wangnya dipindahkan.

“Pegawai bertugas berkata siasatan terperinci dijalankan dan pelbagai perkara perlu diteliti sebelum laporan lengkap disiapkan dan lebih mengecewakan terdapat kekeliruan dari segi waktu transaksi berlaku.

“Mengikut laporan bank berkenaan, waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11.59 malam, tetapi berdasarkan penyata kewangan bank itu,menunjukkan waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11 malam.

“Saya membuat laporan polis sekali lagi serta menghantar surat aduan kepada Bank Negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap laporan yang diterima selain meminta laporan terbabit diteliti semula,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, bank berkenaan perlu menaik taraf tahap keselamatan sistem perbankan secara dalam talian kerana dia bukan mangsa pertama dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan ramai lagi menjadi mangsa.

email-phising

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan laporan mangsa pada 2 Mac lalu dan siasatan masih dijalankan.

Mohamad menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali dan menyarankan orang ramai membuat pengesahan dengan pihak bank jika maklumat diterima meragukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara, sebatan dan denda.

dari: Harian metro 11/04/2011