Tuesday, May 10, 2011

Kes Saman RM10 Juta Kata-kata Fitnah di Facebook

Berhati-hatilah apabila berkata-kata di Facebook,

SHAH ALAM - Seorang wanita memfailkan saman RM10 juta terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga anggota keluarganya kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah menerusi laman sosial Facebook.

zalina-jaafar Zalina Jaafar, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya Faizul Mohd. Nasir pada pukul 10 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Selain Mahharul, dua adik perempuannya, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani, turut dinamakan sebagai defendan.

Mahharul merupakan Setiausaha Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan manakala Zalina merupakan pembantu kepada Ahli Majlis MBPJ, R. Selvarajan. Selvarajan merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Petaling Jaya Selatan.

Zalina mendakwa Mahharul telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman Facebook miliknya (Mahharul) pada 28 September lalu dan kenyataan di laman sosial milik Wan Ikhwan diterbitkan pada 21 September lalu.

Dia turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.

"Antara lain saya difitnah sebagai seorang perempuan tidak bermaruah, melakukan hubungan sulit dengan suami orang tanpa sebarang ikatan perkahwinan selain menuduh saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam politik," kata Zalina.

dari Kosmo 10/05/2011

Sunday, May 8, 2011

Jaga-jaga Web internet tipu (phishing) warga Afrika

Selain menipu gadis-gadis Melayu Malaysia (yang tak pernah serik) , warga Afrika juga mahu jadikan Malaysia hub penipuan global.

KUALA LUMPUR: Sindiket antarabangsa membabitkan warga Afrika mahu menjadikan Malaysia sebagai hub penipuan berikutan penguatkuasaan lemah walaupun mempunyai banyak undang-udang.

Kesempatan itu diambil bukan lagi sekadar untuk menipu warga tempatan, malah masyarakat antarabangsa kerana mereka sedar selain penguatkuasaan undang-undang lemah dan mudah berlaku korupsi, Malaysia mempunyai teknologi komunikasi maklumat, sekali gus memudahkan mereka mencari mangsa.

Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, faktor dikenali dengan istilah ‘Criminogenic Asymmetric’ itu menyebabkan negara ini dipilih sebagai hub penipuan.

“Mereka sebenarnya menjalankan kajian terhadap sistem negara kita. Di sini terlalu banyak undang-undang baru diperkenalkan tetapi penguatkuasaan lemah, dan dalam masa sama, kita mempunyai rangkaian Internet yang baik.

“Mereka bebas keluar masuk, jadi apa yang mereka lakukan ialah menggunakan teknologi untuk membuat laman web palsu menggunakan nama pelbagai agensi kerajaan bagi menawarkan peluang pelaburan, perniagaan atau pinjaman wang kepada masyarakat antarabangsa.

“Mangsa yang mahu menjalankan urus niaga biasanya diminta membayar sejumlah wang pendahuluan dan sebaik wang dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan di Malaysia mereka menghilangkan diri, menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurutnya, perkara itu lebih mudah apabila ada warga tempatan sanggup membuka akaun bagi memudahkan mengutip hasil penipuan.

mat-afrika “Jenayah itu semakin menjadi-jadi apabila ada warga tempatan sanggup bersekongkol dengan warga Afrika terbabit sehingga mengakibatkan nama baik Malaysia tercemar di peringkat antarabangsa selain memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, segelintir warga Afrika di negara ini sering dikaitkan dengan kes penipuan membabitkan rakyat tempatan, namun tanpa disedari, ada antara mereka turut menjadikan Malaysia lokasi untuk memerangkap mangsa di luar negara.

Modus operandi digunakan sungguh mudah, iaitu membuat laman web palsu, contohnya mengenai bank menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah, menjual aksesori telefon bimbit, kertas fotostat atau menyamar sebagai gadis kesunyian yang memerlukan pertolongan.

Akhbar berkata, pihak berkuasa perlu memantau kegiatan ini dan mengambil tindakan segera bagi memastikan ia dihalang daripada terus berleluasa sehingga mencemarkan nama negara.

“ACFE menerima banyak aduan berhubung kegiatan ini daripada masyarakat antarabangsa, kita perlu melakukan sesuatu kerana ia bukan saja mencemarkan nama baik negara, malah menjejaskan ekonomi,” katanya.

Akhbar berkata, negara juga boleh berdepan kerugian sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun angkara penyangak kolar putih yang merangkumi kegiatan penipuan, penyelewengan, rasuah dan menggubahan wang haram.

Sumber Harian Metro 08/05/11

Sunday, April 24, 2011

Gadis Malaysia Diperdaya rakan Facebook Awang Hitam

Ini dah bukan kes terpedaya tetapi memperdayakan diri.

facebook_icon PUTRAJAYA: Seorang pelajar kolej swasta di ibu negara diperdaya seorang lelaki warga Afrika untuk membawa 100 pil seberat 600 gram dipercayai dadah jenis heroin ke China dengan bayaran RM5,000.

Akibatnya, mangsa yang berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan di Lapangan Terbang Shenzen, China pada 11 Mac lalu kerana disyaki membawa dadah di dalam tubuh dengan cara menelan.

Mangsa dipercayai diperdaya satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan laman web sosial Facebook untuk menjerat mangsa, terutama pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal, untuk membawa dadah keluar dari negara ini.

Sindiket didalangi warga Afrika itu dipercayai cuba mendekati sasaran atau mangsa menggunakan Facebook sebelum memperdaya dan memperalat mereka untuk membawa dadah ke negara destinasi.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan berkenalan dengan lelaki Afrika yang menggunakan nama samaran ‘Chimezie Michael’ melalui Facebook sejak tahun lalu.

Katanya, mangsa yang berasal dari Betong, Sarawak mengaku tidak pernah bertemu secara langsung dengan lelaki terbabit sejak berhubung melalui laman web sosial itu, malah tidak mengetahui nama penuh dan latar belakangnya.

“Sebelum ke China, Michael mengarahkan mangsa menelan 100 pil yang mengandungi dadah dan dia akan dibayar RM5,000 apabila pulang dari China kelak.

“Malah, mangsa menguruskan sendiri segala urusan visa dan tiket penerbangan diuruskan. Bagaimanapun, sebaik tiba di lapangan terbang itu pada 11 Mac, beliau ditahan pihak berkuasa tempatan kerana disyaki membawa dadah dalam tubuh dengan cara menelan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Shenzhen untuk siasatan lanjut. Ketika ini, gadis itu dalam keadaan sihat.

“Wakil kita di China turut meminta pihak berkuasa tempatan di sana memberi layanan baik kepadanya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Wisma Putra di Taman Wetland, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman.

Richard berkata, beliau sedih selepas dimaklumkan gadis terbabit hanya dijanjikan RM5,000 untuk membawa dadah berkenaan dan percaya ia dilakukan atas dasar kesempitan hidup.

“Sindiket ini menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal sebagai sasaran kerana mungkin golongan ini mudah diperdaya akibat kesempitan hidup dialami,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, terutama pelajar, supaya berhati-hati ketika menggunakan Facebook dan jangan mempercayai kenalan baru, terutama warga Afrika, bagi mengelak terpedaya dengan sindiket ini.

“Saya selalu cakap Facebook ada kebaikannya, tetapi jika salah guna boleh ia jadi musuh ketat. Pada masa sama, berhati-hati dengan mereka yang ingin berkenalan, terutama warga Afrika, kerana mereka mungkin ada niat tersembunyi di sebalik perkenalan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana dadah terbabit tidak dapat dikesan di negara ini ketika pemeriksaan dilakukan.

dari: Harianmetro